Header Ads

VIRAL
recent

Review: Jam Tangan Pintar Pertama daripada Garmin - Vivoactive





Kesedaran manusia pada masa kini terhadap kesihatan telah merangsang kepada penghasilan pelbagai gadget dan peralatan yang dapat mengukur kesihatan dan kecergasan diri. Baru-baru ini iaitu pada 21 April 2015, Garmin telah membawa masuk beberapa jam tangan kesihatan untuk pasaran Malaysia. Antara jam tangan baru Garmin ialah Fenix 3, Epix dan yang paling membuatkan kami rasa teruja ialah jam tangan Vivoactive.

Vivoactive merupakan jam tangan pintar pertama keluaran Garmin. Tidak seperti jam tangan pintar lain, Vivoactive bakal menarik minat golongan atlet dengan kepelbagaian fungsi untuk sukan. Pertamanya, jam ini hadir dengan fungsi GPS terbina. Walaupun jam tangan dengan fungsi GPS adalah biasa dan banyak di pasaran, tetapi fungsi ini tidak biasa untuk jam tangan pintar. Jam tangan keluaran Garmin ini juga adalah kalis air sehingga 50 meter tidak seperti jam tangan pintar lain yang hanya kalis peluh.

Reka Bentuk

Garmin sememangnya terkenal sebagai pengeluar jam tangan kesihatan yang tahan lasak dan menumpukan sepenuhnya kepada golongan atlet bagi meningkatkan prestasi sukan mereka. Vivoactive merupakan percubaan pertama pihak Garmin untuk memasuki arena jam tangan pintar. Vivoactive hadir dengan reka bentuk yang sangat nipis. Ketebalan jam ini hanya 8mm, manakala panjang jam adalah 43.8 mm dan lebar 38.5 mm. Paparan digital jam ini bersaiz 28.6 mm x 20.7 mm dengan resolusi skrin 205 x 148 piksel. Paparan jam ini adalah berwarna dan juga beroperasi secara sentuh. Selain mengunakan paparan sentuh, jam ini juga mempunya dua butang fizikal. Berat jam dengan tali ialah 18.0 g manakala tanpa tali ialah 38.0 g. Sememangnya ringan dan selesa untuk dipakai untuk aktiviti harian dan juga semasa sukan.




Prestasi

Walaupun hadir dengan rekaan nipis, Vivoactive mempunyai ketahanan bateri yang boleh dibanggakan. Jam ini mampu bertahan sehingga 3 minggu dalam fungsi jam biasa atau pengesan aktiviti. Sekiranya GPS digunakan sepenuhnya, jam ini mampu bertahan sehingga 10 jam, cukup untuk atlet yang ingin menghabiskan larian marathon dengan jarak 42km. Jam ini dilengkapi sensor GPS terbina termasuk GLONASS. GLONASS adalah singkatan kepada Global Navigation Sattelite System yang merupakan sistem pengesan lokasi pihak Rusia seperti GPS. Oleh itu, sebuah peranti yang mempunyai GPS dan Glonass akan mendapat manfaat mendapat signal yang lebih pantas dengan satelit bagi tujuan pengukuran data aktiviti sukan yang tepat. Bagi tujuan sambungan dengan telefon pintar, Vivoactive menggunakan Bluetooth 4.0 dengan jarak sambungan sehingga 10 meter. Jam ini kalis air sehingga 5 ATM bersamaan dengan tekanan air dengan kedalaman 50 meter dan sesuai untuk dibawa berenang.

Fungsi

Fungsi utama jam tangan Garmin adalah untuk mengesan aktiviti sukan. Vivoactive mempunyai kebolehan untuk mengesan aktiviti 3 jenis sukan – larian, renang dan juga berbasikal. Bagi ketiga-tiga sukan ini, anda boleh mengesan kelajuan, jarak, masa, degupan jantung (memerlukan aksesori tambahan yang dijual secara berasingan) dan juga keluasan langkah. Data sukan anda akan disimpan di dalam memori jam dan juga akan dihantar ke telefon pintar melalui aplikasi Garmin Connect. Di Garmin Connect, data aktiviti akan dapat dilihat dengan lebih terperinci untuk dikaji bagi memperbaiki prestasi.

Paparan data aktiviti larian pada aplikasi Garmin Connect 
Selain mengesan jarak larian menggunakan GPS, Vivoactive juga mempunyai sensor accelerometer terbina untuk mengesan jarak larian semasa berlari menggunakan treadmill. Fungsi larian termasuk ‘auto pause’ dan ‘auto lap’ disediakan untuk kemudahan pengguna. Selain aktiviti larian/renang/berbasikal, Vivoactive juga mempunyai kebolehan ‘fitness tracker’, sama seperti fitness band yang berada di pasaran seperti Mi Band, Jawbone, Fitbit dan lain-lain. Vivoactive boleh mengesan langkah, jarak, kalori dan juga kualiti tidur. Jam ini juga akan mengingatkan pengguna untuk bergerak melalui getaran pada jam. Fungsi sukan yang selalunya eksklusif kepada siri Garmin Approach kini hadir pada Vivoactive. Sekiranya pengguna peminat sukan Golf, Vivoactive kini menyokong aktiviti Golf. Pengguna boleh memuat turun peta Golf course melalui aplikasi Garmin Connect, dan Vivoactive boleh memberitahu jarak pengguna dari lubang Golf.

Bagi fungsi jam pintar, Vivoactive menggunakan Bluetooth Smart untuk berhubung dengan telefon pintar pengguna yang membolehkan pengguna menerima sebarang notifikasi daripada telefon pintar Apple mahupun Android. Sekiranya pengguna tidak mahu diganggu semasa melalukan aktiviti, pengguna boleh menyahaktif fungsi notifikasi ini. Apabila jam ini digunakan bersama aplikasi Garmin Connect pada telefon pintar, pengguna boleh mengawal muzik, melihat keadaan cuaca dan juga pasaran saham. Garmin Connect juga boleh dihubungkan dengan aplikasi lain seperti Nike+ Running, Apple iOS Health dan MyFitnessPal bagi menyelaraskan aktiviti sukan dan kesihatan.


Garmin Connect yang dihubungkan dengan aplikasi Nike+ Running dan MyFitnessPal

Selain itu, Garmin mempunyai Connect IQ Store yang membolehkan pengguna memuat turun aplikasi daripada pihak ketiga yang membolehkan pengguna melihat peratus bateri yang tinggal, compass dan juga menukar paparan muka jam tangan.


Connect IQ Store untuk muat turun aplikasi dan widget

Kesimpulan

Setelah menggunakan Garmin Vivoactive selama 2 minggu, kami amat berpuas hati dengan fungsi yang terdapat padanya. Ia dapat merekod aktiviti sukan kami terutamanya larian dan aktiviti kecergasan kami selain dapat menerima notifikasi dari telefon pintar. Ketahanan bateri Vivoactive ini juga mengagumkan kami dan menyebabkan ia boleh dikatakan jam pintar GPS terbaik yang ada di pasaran buat masa kini. Jam tangan Vivoactive ditawarkan dengan harga RM1099 tanpa sensor degupan jantung (heart rate monitor) dan RM1299 untuk Jam bersama sensor degupan jantung (harga sebelum GST). Diharapkan, jam-jam pintar seperti Vivoactive akan terus dikeluarkan dengan pelbagai lagi fungsi yang menjurus ke arah aktiviti sukan dan kesihatan agar ia dapat membantu atlet dan pengguna yang mementingkan kecergasan.

Powered by Blogger.